SEDUTAN UCAPAN BAJET 2013 DUN KEDAH OLEH YAB MB KEDAH


Strategi Ketiga: Meningkatkan Modal Insan

a. Kampus Tetap KUIN di Kuala Ketil

Kerja-kerja pembinaan Kampus Tetap KUIN di Kuala Ketil telah hampir siap dan bakal dirasmikan pada awal tahun 2013. Sejak 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, inilah kali pertama kerajaan negeri memiliki sebuah universiti yang tersendiri. Semestinya ia akan menjadi kebanggaan rakyat, sekalipun KUIN terpaksa menghadapi pelbagai kekangan termasuk kewangan, tetapi akhirnya berjaya biar pun tidak mendapat sebarang bentuk bantuan dari kerajaan Pusat. Kejayaan ini adalah pertolongan dari Allah SWT kerana KUIN dibina di atas ketaqwaan.


Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhannya dan menjauhi segala larangannya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala yang menyusahkannya serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya). Dan (ingatlah) sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah maka Allah cukupilah baginya (untuk) menolong dan menyelamatkannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara-perkara yang dikehendakinya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu)”. (Surah Al-Thalaq Ayat 2 dan 3)

Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan setinggi -tinggi terima kasih kepada pihak Bank Islam Malaysia Berhad dan Affin Bank Berhad yang tampil memberikan kemudahan pinjaman kewangan atas prinsip untuk sama-sama melihat kejayaan dalam dunia pendidikan yang seterusnya mampu merangsang perkembangan sosial dan ekonomi negeri Kedah ini.
KUIN lahir di tengah-tengah segitiga strategik di antara bandar Sungai Petani, Baling dan Kulim. Kita bakal melahirkan sebuah pusat pertumbuhan yang baru di Kuala Ketil. Kita menjangkakan, dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang Kuala Ketil akan berubah wajah sepertimana yang berlaku di Bangi, Selangor.
Sebelum wujudnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hanyalah sebuah kampung yang kecil, tetapi sekarang Bangi adalah sebuah bandar ilmu dan bandar industri sederhana yang semakin pesat membangun selain ia terletak berdekatan dengan Putrajaya.

Tempiasan ilmu yang berkembang di KUIN ini insyaAllah akan memanfaatkan rakyat di negeri ini yang selama ini agak tidak diberi perhatian dalam perkembangan dunia pendidikan.
Seperkara yang harus difikir secara lebih jauh adalah, lahirnya kampus KUIN ini, kita telah dapat mengelakkan berlakunya pengaliran wang rakyat Kedah ke negeri-negeri luar.

Selepas ini akan berlaku pengaliran tunai dari luar yang mencurah dan ia secara tidak langsung mewujudkan pelbagai peluang pendapatan bagi rakyat terbanyak.
Turut membanggakan kita adalah kejayaan KUIN memberi kursus Perbankkan Islam kepada hampir 3,000 kakitangan kaunter Islam daripada bank-bank di negara Thailand.
Lebih dari itu, Timbalan Gabenor Bank Negera Nigeria adalah antara individu yang datang belajar di KUIN setelah KUIN memberi khidmatnya kepada Bank Negara Nigeria dalam bidang Perbankkan Islam. Telah ada dua kumpulan lain dari Nigeria yang mengikuti langkah Timbalan Gabenor Bank Negara tersebut.
Suka juga saya maklumkan di sini bahawa Kampus Induk KUIN pada peringkat ini belum didirikan lagi bangunan asrama. Bangunan asrama untuk para pelajar akan dibina pada perancangan fasa ke dua.
Ini tidak bermakna KUIN tidak memikirkan akan keperluan asas kepada pelajar tersebut.
Bagi mengatasinya, kita telah berbincang dengan pihak GLC untuk menggunakan bangunan yang mereka bangunkan sekitar KUIN bagi dijadikan asrama.
Tidak keterlaluan jika saya katakan, Kampus KUIN di Kuala Ketil ini adalah bertaraf lima bintang atau “Five Star University”, .
InsyaAllah, KUIN akan dirasmikan pada awal 2013 yang bakal disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

KUIN akan berpindah ke kampus ini pada bulan Mac, manakala pelajar akan menggunakan kampus baru untuk sesi pengajian pada Jun 2013. Mulai tahun 2013, Kerajaan perlu membuat bayaran tertangguh kepada kontraktor sebanyak 46juta ringgit setahun.
Dengan berlakunya perpindahan ke kampus baru serta peningkatan mendadak jumlah pelajar, Kerajaan akan menambah pemberian kepada KUIN mengikut keperluan bagi memartabatkan pendidikan kepada anak bangsa ini.

KENYATAAN PERSATUAN EKSEKUTIF MUAMALAT (PERTEMU)


KENYATAAN PERSATUAN EKSEKUTIF MUAMALAT (PERTEMU)
17 November 2012 / 03 Muharam 1434H

PERTEMU Kecam Serangan Ke Atas Gaza

Persatuan Eksekutif Muamalat (PERTEMU) mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis Israel yang melancarkan serangan melalui udara dan air ke atas penduduk di bumi Gaza.

PERTEMU menganggap perkembangan terbaru ini sebagai serangan kejam yang melibatkan kematian dan k
ecederaan kepada penduduk awam termasuk wanita dan kanak-kanak. Serangan ini juga dilihat sebagai satu agenda penerusan Zionis melaksana pembersihan etnik secara besar-besaran terhadap penduduk Islam di Palestin.

Dalam pada itu, PERTEMU mengutuk alasan rejim Zionis untuk menghapuskan aktivis Hamas dan pengganas untuk menghalalkan tindakan mereka sebagai tidak masuk akal. Ini berikutan serangan tersebut dilakukan secara tebuka ke atas kawasan penduduk awam. Tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan ke atas umat Islam Palestin ini bukan kali pertama dilakukan oleh rejim Zionis, tetapi sudah berpanjangan sejak berpuluh tahun lamanya. Kita berharap seluruh pihak khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), dan Kesatuan Eropah (EU) bersuara lantang dan mengenakan sekatan politik dan ekonomi terhadap Israel atas dasar kemanusiaan. PERTEMU juga berharap agar negara-negara yang bersimpati untuk mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, PERTEMU memuji tindakan tegas Mesir di bawah pimpinan Ikhwanul Muslimin memutuskan untuk memanggil pulang dutanya ke Israel sebagai tindakan membantah kematian lima anggota polisnya yang terbunuh di sempadan ketika serangan balas tentera Zionis ke atas pejuang Palestin. PERTEMU juga menyeru agar seluruh dunia mengecam kezaliman ini dengan apa cara sekalipun bukan sekadar piket atau bantahan dan membuat sesuatu sebagai suatu bentuk tekanan terhadap Israel. PERTEMU juga menyeru usaha kesedaran pendidikan kemanusiaan yang berterusan daripada semua pihak agar isu umat di gaza ini tidak menjadi perhatian pada masa-masa tertentu sahaja.

Mahasiswa/siswi sekalian,

Sewajarnya menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus menyatakan bantahan ke atas kekejaman zionis Israel ini. Maka, marilah kita bersama untuk terus-menerus berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT semoga saudara kita di bumi Palestin terus diberikan kekuatan untuk melawan kekejaman tentera Israel dan kita berharap agar mereka beroleh kejayaan dengan kemenangan yang mutlak dalam usaha memerdekakan bumi mereka dari terus ditindas oleh rejim zionis Israel.

Muhammad Aminur Shafiq Bin Mohamad Abduh
Presiden
Persatuan Eksekutif Muamalat (PERTEMU)

INSANIAH TERUS DIPUJI


Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan puji usaha memajukan pendidikan


ALOR SETAR – Usaha kerajaan negeri dalam memajukan bidang pendidikan dan pembangunan insan yang merangkumi semua kumpulan umur mendapat pujian Tunku Bendahara Kedah (Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah), Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Utama Tan Sri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

“Tumpuan kerajaan untuk memajukan bidang pendidikan dan pembangunan insan adalah langkah yang tepat.

“Kemajuan negeri ini dalam jangka panjang bergantung kepada tenaga manusia yang berilmu, amanah dan patriotic, saya sangat sukacita dengan program pembangunan pendidikan yang dirancangkan oleh kerajaan yang lengkap untuk semua kumpulan umur iaitu daripada tahap pra sekolah, sekolah menengah dan peringkat pendidikan tinggi.

“Usaha seperti ini bakal melahirkan tenaga kerja yang berkualiti untuk keperluan ekonomi masa hadapan” ujar beliau dalam Titah Ucapan Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Mesyuarat Bajet 2013 yang diadakan di Wisma Darul Aman, di sini.

Selain itu, beliau turut berbangga dengan perkembangan yang berlaku terhadap Kolej Universiti Insaniah.

“Perkembangan yang berlaku kepada Kolej Universiti Insaniah adalah membanggakan, sebagai institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri, Kolej Universiti Insaniah telah berjaya menjadi universiti pilihan kepada 6,000 pelajar tempatan dan 1100 pelajar antarabangsa.

“InsyaAllah, pada tahun hadapan Kolej Universiti Insaniah akan berpindah ke kampus tetap yang moden di Kuala Ketil.

“Saya percaya kemudahan yang disediakan bakal melonjakkan nama Kolej Universiti Insaniah sebagai institusi yang tersohor bukan sahaja dalam bidang pengajian Agama Islam malahan dalam bidang kewangan, multimedia, kejuruteraan, perubatan dan sains kesihatan.

“Saya menyeru agar pengurusan Kolej Universiti Insaniah terus berusaha meningkatkan kemasukan pelajar baru samada pelajar tempatan ataupun antarabangsa dan yang lebih utama ialah mempertingkatkan program akademik agar Kolej Universiti Insaniah dinaiktaraf sebagai sebuah Universiti,” jelas beliau

Insaniah diiktiraf sangat baik



ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berbangga dengan kejayaan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) yang menerima pengiktirafan penarafan Tier 4 (sangat baik) bagi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi 2011 (Setara'11).

Azizan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Insaniah bersyukur dengan kejayaan berkenaan hasil usaha bersungguh-sungguh seluruh warga institusi pengajian tinggi itu, walaupun dilanda pelbagai kontroversi membabitkan pengurusan Insaniah.

Menurutnya, pengiktirafan itu juga turut memenuhi sasaran Kerajaan Negeri untuk membangunkan semula Insaniah serta menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri berilmu pengetahuan.

"Setelah empat tahun berlalu kita sudah mula nampak hasilnya, pembinaan Kampus Induk Insaniah di Kuala Ketil juga merupakan hadiah tidak ternilai untuk rakyat," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Rektor Insaniah, Profesor Datuk Dr Jamil Osman berkata, Insaniah muncul antara 16 institusi pengajian tinggi meliputi universiti dan kolej daripada 52 buah menerima penarafan Tier 4 bagi Setara'11 diumumkan Menteri Pengajian Tinggi pada 1 November lalu.

Menurutnya, daripada 16 institusi itu, enam daripadanya institusi pengajian tinggi awam dan pengiktirafan itu membuktikan bahawa kualiti pengajaran serta pembelajaran di Insaniah diperakui oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Pada masa sama, ia turut menunjukkan peningkatan memberansangkan daripada pengiktirafan Tier 3 (baik) pada 2009.

"Pengiktirafan ini juga akan membuka lebih ruang memperoleh status universiti penuh pada masa depan selepas Kampus Induk Insaniah di Kuala Ketil beroperasi kelak," katanya.

Jamil berkata, jika mampu dicapai tidak mustahil Insaniah bakal menerima pengiktirafan Tier 5 (cemerlang) dalam tempoh lima tahun setelah kemasukan pelajar di kampus baru meningkat kepada 10,000 orang.

"Pelbagai kemudahan prasarana lengkap di Kuala Ketil juga akan dapat membantu meningkatkan mutu kerja warga Insaniah bagi menghasilkan kualiti terbaik," katanya.

Sementara itu, menurutnya, Setara'11 bertujuan mengukur kualiti pengajaran dan pembelajaran pada tahap enam kerangka kelayakan Malaysia peringkat ijazah pertama (ijazah sarjana muda) bagi universiti dan kolej universiti di Malaysia meliputi tiga aspek iaitu Input, proses dan output bagi menilai kualiti, pengajaran serta pembelajaran.

"Penilaian turut melibatkan bilangan pensyarah yang mempunyai kelulusan ijazah doktor falsafah (Phd), sarjana, pengurusan (nilai keantarabangsaan), penyelidikan, pasaran kerja yang selesai menamatkan pengajian.

"Klasifikasi penarafan kepada enam tahap Tier 6 sebagai tahap tertinggi (terbilang), Tier 5 (cemerlang), Tier 4 (sangat baik), Tier 3 (baik), Tier 2 (memuaskan) dan Tier 1 sebagai penarafan paling rendah (lemah)," katanya.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1434H


SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER


KUIN TERIMA PENARAFAN DARIPADA PIHAK KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Insaniah terima penarafan ‘Tier 4’ (Sangat Baik) dari Menteri Pengajian Tinggi

Oleh: MUSLIM ABDUL RAZAK

ALOR SETAR – Tohmahan demi tohmahan dilemparkan terhadap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) namun ianya tidak menjatuhkan kredibiliti kolej tersebut apabila ianya muncul di antara 16 institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menerima penarafan Tier 4 (Sangat Baik) bagi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2011 (SETARA’11) yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi pada 1 November lalu.


Timbalan Pendaftar KUIN, Ustaz Sayuthi Sanusi berkata, dengan mendapat pengiktirafan ini ianya membuktikan bahawa kualiti pengajaran dan pembelajaran di KUIN diperakui oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). 

“Pada masa yang sama ianya menunjukkan peningkatan memberangsangkan daripada pengiktirafan Tier 3 (Baik) pada 2009.

“Pengiktirafan ini juga akan membuka lebih ruang buat KUIN untuk memperoleh status universiti penuh pada masa depan selepas Kampus Induk KUIN di Kuala Ketil beroperasi kelak,” jelasnya.

Katanya lagi, jika ia mampu dicapai tidak mustahil KUIN bakal menerima pengiktirafan Tier 5 (Cemerlang) selepas ini. Dengan kemudahan prasarana lengkap di Kuala Ketil diharap warga KUIN dapat meningkatkan mutu kerja bagi menghasil kualiti optimum sekaligus merealisasikannya.

Sementara itu, SETARA bertujuan mengukur kualiti pengajaran dan pembelajaran pada tahap enam kerangka kelayakan Malaysia peringkat Ijazah Pertama bagi universiti dan kolej universiti di Malaysia yang meliputi tiga domain generik iaitu Input, Proses dan Output bagi menilai kualiti pengajaran dan pembelajaran.

SETARA’11 mengklasifikasi penarafan kepada enam tahap dengan Tier 6 sebagai tahap tertinggi (Terbilang) dan Tier 1 sebagai penarafan paling rendah (Lemah).

SENARAI KEPIMPINAN PERSATUAN EKSEKUTIF MUAMALAT (PERTEMU) KUIN SESI 2012/2013

SENARAI KEPIMPINAN PERSATUAN EKSEKUTIF MUAMALAT (PERTEMU) KUIN SESI 2012/2013
1. MAJLIS TERTINGGI EKSEKUTIF (MT)
PRESIDEN

- MUHAMMAD AMINUR SHAFIQ BIN MOHAMAD ABDUH

TIMBALAN PRESIDEN
- SITI NURHAYATI HUSNA BINTI RAZALI

SETIAUSAHA AGUNG
- NUH BIN ZULEFFENDI

TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG
- SYADATUL NURUL ASYIKIN WONG

BENDAHARI KEHORMAT
- MUHAMAD MAHATHIR BIN ISMA'AIL

TIMBALAN BENDAHARI KEHORMAT
- FARIDAH BINTI AHMAD




2. AHLI MAJLIS MESYUARAT EKSEKUTIF (EXCO)
BIRO AKADEMIK, PENYELIDIKAN & KERJAYA
- PENGERUSI : RASHID BIN ATING
- TIMB. PENGERUSI : NURSHYLAH BINTI OTHMAN

BIRO KEROHANIAN, KEPIMPINAN & PEMBANGUNAN INSAN
- PENGERUSI : MOHD FIKRI BIN MOHD SHAFIE
- TIMB. PENGERUSI : MURNI SYAHIRA BINTI MOHAMAD AZMI

BIRO EKONOMI, KEUSAHAWANAN & JARINGAN INDUSTRI
- PENGERUSI : MUHAMMAD SYAFIQ BIN MOHD AZAHARI
- TIMB. PENGERUSI : ILI HANISAH BINTI AZAMUDDIN

BIRO PENERANGAN, INFORMASI & PENERBITAN
- PENGERUSI : MUHAMAD HELMI BIN AHMAD SABRI
- TIMB. PENGERUSI : TASYRIL BIN TAHANG

BIRO PERHUBUNGAN, ANTARABANGSA & KEMASYARAKATAN
- PENGERUSI : MOHD SOFFAN BIN MOHD. YUSOFF
- TIMB. PENGERUSI : NOR MASTURA BINTI SAIDIN

BIRO KEBAJIKAN, KEDIAMAN & PENEMPATAN LUAR
- PENGERUSI : MOHD KHAIRUL HAFIZ BIN AZIZ
- TIMB. PENGERUSI : FARAH EMYLIA BINTI AZMAN

BIRO SUKAN, REKREASI & KEBUDAYAAN
- PENGERUSI : MOHD FAHAMI HUSAINI BIN ROSDI
- TIMB. PENGERUSI : NASRULLAH BIN AHMAD TAJUDIN