SEDUTAN UCAPAN BAJET 2013 DUN KEDAH OLEH YAB MB KEDAH


Strategi Ketiga: Meningkatkan Modal Insan

a. Kampus Tetap KUIN di Kuala Ketil

Kerja-kerja pembinaan Kampus Tetap KUIN di Kuala Ketil telah hampir siap dan bakal dirasmikan pada awal tahun 2013. Sejak 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, inilah kali pertama kerajaan negeri memiliki sebuah universiti yang tersendiri. Semestinya ia akan menjadi kebanggaan rakyat, sekalipun KUIN terpaksa menghadapi pelbagai kekangan termasuk kewangan, tetapi akhirnya berjaya biar pun tidak mendapat sebarang bentuk bantuan dari kerajaan Pusat. Kejayaan ini adalah pertolongan dari Allah SWT kerana KUIN dibina di atas ketaqwaan.


Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhannya dan menjauhi segala larangannya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala yang menyusahkannya serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya). Dan (ingatlah) sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah maka Allah cukupilah baginya (untuk) menolong dan menyelamatkannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara-perkara yang dikehendakinya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu)”. (Surah Al-Thalaq Ayat 2 dan 3)

Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan setinggi -tinggi terima kasih kepada pihak Bank Islam Malaysia Berhad dan Affin Bank Berhad yang tampil memberikan kemudahan pinjaman kewangan atas prinsip untuk sama-sama melihat kejayaan dalam dunia pendidikan yang seterusnya mampu merangsang perkembangan sosial dan ekonomi negeri Kedah ini.
KUIN lahir di tengah-tengah segitiga strategik di antara bandar Sungai Petani, Baling dan Kulim. Kita bakal melahirkan sebuah pusat pertumbuhan yang baru di Kuala Ketil. Kita menjangkakan, dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang Kuala Ketil akan berubah wajah sepertimana yang berlaku di Bangi, Selangor.
Sebelum wujudnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hanyalah sebuah kampung yang kecil, tetapi sekarang Bangi adalah sebuah bandar ilmu dan bandar industri sederhana yang semakin pesat membangun selain ia terletak berdekatan dengan Putrajaya.

Tempiasan ilmu yang berkembang di KUIN ini insyaAllah akan memanfaatkan rakyat di negeri ini yang selama ini agak tidak diberi perhatian dalam perkembangan dunia pendidikan.
Seperkara yang harus difikir secara lebih jauh adalah, lahirnya kampus KUIN ini, kita telah dapat mengelakkan berlakunya pengaliran wang rakyat Kedah ke negeri-negeri luar.

Selepas ini akan berlaku pengaliran tunai dari luar yang mencurah dan ia secara tidak langsung mewujudkan pelbagai peluang pendapatan bagi rakyat terbanyak.
Turut membanggakan kita adalah kejayaan KUIN memberi kursus Perbankkan Islam kepada hampir 3,000 kakitangan kaunter Islam daripada bank-bank di negara Thailand.
Lebih dari itu, Timbalan Gabenor Bank Negera Nigeria adalah antara individu yang datang belajar di KUIN setelah KUIN memberi khidmatnya kepada Bank Negara Nigeria dalam bidang Perbankkan Islam. Telah ada dua kumpulan lain dari Nigeria yang mengikuti langkah Timbalan Gabenor Bank Negara tersebut.
Suka juga saya maklumkan di sini bahawa Kampus Induk KUIN pada peringkat ini belum didirikan lagi bangunan asrama. Bangunan asrama untuk para pelajar akan dibina pada perancangan fasa ke dua.
Ini tidak bermakna KUIN tidak memikirkan akan keperluan asas kepada pelajar tersebut.
Bagi mengatasinya, kita telah berbincang dengan pihak GLC untuk menggunakan bangunan yang mereka bangunkan sekitar KUIN bagi dijadikan asrama.
Tidak keterlaluan jika saya katakan, Kampus KUIN di Kuala Ketil ini adalah bertaraf lima bintang atau “Five Star University”, .
InsyaAllah, KUIN akan dirasmikan pada awal 2013 yang bakal disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

KUIN akan berpindah ke kampus ini pada bulan Mac, manakala pelajar akan menggunakan kampus baru untuk sesi pengajian pada Jun 2013. Mulai tahun 2013, Kerajaan perlu membuat bayaran tertangguh kepada kontraktor sebanyak 46juta ringgit setahun.
Dengan berlakunya perpindahan ke kampus baru serta peningkatan mendadak jumlah pelajar, Kerajaan akan menambah pemberian kepada KUIN mengikut keperluan bagi memartabatkan pendidikan kepada anak bangsa ini.

No comments:

Post a Comment