KENYATAAN PERSATUAN EKSEKUTIF MUAMALAT (PERTEMU)


KENYATAAN PERSATUAN EKSEKUTIF MUAMALAT (PERTEMU)
17 November 2012 / 03 Muharam 1434H

PERTEMU Kecam Serangan Ke Atas Gaza

Persatuan Eksekutif Muamalat (PERTEMU) mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis Israel yang melancarkan serangan melalui udara dan air ke atas penduduk di bumi Gaza.

PERTEMU menganggap perkembangan terbaru ini sebagai serangan kejam yang melibatkan kematian dan k
ecederaan kepada penduduk awam termasuk wanita dan kanak-kanak. Serangan ini juga dilihat sebagai satu agenda penerusan Zionis melaksana pembersihan etnik secara besar-besaran terhadap penduduk Islam di Palestin.

Dalam pada itu, PERTEMU mengutuk alasan rejim Zionis untuk menghapuskan aktivis Hamas dan pengganas untuk menghalalkan tindakan mereka sebagai tidak masuk akal. Ini berikutan serangan tersebut dilakukan secara tebuka ke atas kawasan penduduk awam. Tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan ke atas umat Islam Palestin ini bukan kali pertama dilakukan oleh rejim Zionis, tetapi sudah berpanjangan sejak berpuluh tahun lamanya. Kita berharap seluruh pihak khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), dan Kesatuan Eropah (EU) bersuara lantang dan mengenakan sekatan politik dan ekonomi terhadap Israel atas dasar kemanusiaan. PERTEMU juga berharap agar negara-negara yang bersimpati untuk mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, PERTEMU memuji tindakan tegas Mesir di bawah pimpinan Ikhwanul Muslimin memutuskan untuk memanggil pulang dutanya ke Israel sebagai tindakan membantah kematian lima anggota polisnya yang terbunuh di sempadan ketika serangan balas tentera Zionis ke atas pejuang Palestin. PERTEMU juga menyeru agar seluruh dunia mengecam kezaliman ini dengan apa cara sekalipun bukan sekadar piket atau bantahan dan membuat sesuatu sebagai suatu bentuk tekanan terhadap Israel. PERTEMU juga menyeru usaha kesedaran pendidikan kemanusiaan yang berterusan daripada semua pihak agar isu umat di gaza ini tidak menjadi perhatian pada masa-masa tertentu sahaja.

Mahasiswa/siswi sekalian,

Sewajarnya menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus menyatakan bantahan ke atas kekejaman zionis Israel ini. Maka, marilah kita bersama untuk terus-menerus berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT semoga saudara kita di bumi Palestin terus diberikan kekuatan untuk melawan kekejaman tentera Israel dan kita berharap agar mereka beroleh kejayaan dengan kemenangan yang mutlak dalam usaha memerdekakan bumi mereka dari terus ditindas oleh rejim zionis Israel.

Muhammad Aminur Shafiq Bin Mohamad Abduh
Presiden
Persatuan Eksekutif Muamalat (PERTEMU)

No comments:

Post a Comment