Insaniah diiktiraf sangat baik



ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berbangga dengan kejayaan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) yang menerima pengiktirafan penarafan Tier 4 (sangat baik) bagi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi 2011 (Setara'11).

Azizan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Insaniah bersyukur dengan kejayaan berkenaan hasil usaha bersungguh-sungguh seluruh warga institusi pengajian tinggi itu, walaupun dilanda pelbagai kontroversi membabitkan pengurusan Insaniah.

Menurutnya, pengiktirafan itu juga turut memenuhi sasaran Kerajaan Negeri untuk membangunkan semula Insaniah serta menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri berilmu pengetahuan.

"Setelah empat tahun berlalu kita sudah mula nampak hasilnya, pembinaan Kampus Induk Insaniah di Kuala Ketil juga merupakan hadiah tidak ternilai untuk rakyat," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Rektor Insaniah, Profesor Datuk Dr Jamil Osman berkata, Insaniah muncul antara 16 institusi pengajian tinggi meliputi universiti dan kolej daripada 52 buah menerima penarafan Tier 4 bagi Setara'11 diumumkan Menteri Pengajian Tinggi pada 1 November lalu.

Menurutnya, daripada 16 institusi itu, enam daripadanya institusi pengajian tinggi awam dan pengiktirafan itu membuktikan bahawa kualiti pengajaran serta pembelajaran di Insaniah diperakui oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Pada masa sama, ia turut menunjukkan peningkatan memberansangkan daripada pengiktirafan Tier 3 (baik) pada 2009.

"Pengiktirafan ini juga akan membuka lebih ruang memperoleh status universiti penuh pada masa depan selepas Kampus Induk Insaniah di Kuala Ketil beroperasi kelak," katanya.

Jamil berkata, jika mampu dicapai tidak mustahil Insaniah bakal menerima pengiktirafan Tier 5 (cemerlang) dalam tempoh lima tahun setelah kemasukan pelajar di kampus baru meningkat kepada 10,000 orang.

"Pelbagai kemudahan prasarana lengkap di Kuala Ketil juga akan dapat membantu meningkatkan mutu kerja warga Insaniah bagi menghasilkan kualiti terbaik," katanya.

Sementara itu, menurutnya, Setara'11 bertujuan mengukur kualiti pengajaran dan pembelajaran pada tahap enam kerangka kelayakan Malaysia peringkat ijazah pertama (ijazah sarjana muda) bagi universiti dan kolej universiti di Malaysia meliputi tiga aspek iaitu Input, proses dan output bagi menilai kualiti, pengajaran serta pembelajaran.

"Penilaian turut melibatkan bilangan pensyarah yang mempunyai kelulusan ijazah doktor falsafah (Phd), sarjana, pengurusan (nilai keantarabangsaan), penyelidikan, pasaran kerja yang selesai menamatkan pengajian.

"Klasifikasi penarafan kepada enam tahap Tier 6 sebagai tahap tertinggi (terbilang), Tier 5 (cemerlang), Tier 4 (sangat baik), Tier 3 (baik), Tier 2 (memuaskan) dan Tier 1 sebagai penarafan paling rendah (lemah)," katanya.

No comments:

Post a Comment